24 Oktober 2016 - 08:50
A.S Keluarkan Amaran Kepada Rakyatnya Tentang Bahaya Serangan Pengganas Di Istanbul.

A.S telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya tentang kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Istanbul. Amaran itu juga meliputi tentang risiko berlakunya percubaan menculik warga asing di Turki.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - A.S telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya tentang kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Istanbul. Amaran itu juga meliputi tentang risiko berlakunya percubaan menculik warga asing di Turki.

Konsulat A.S di Istanbul memberikan amaran kepada rakyatnya pada petang Sabtu lepas bahawa kumpulan-kumpulan pengganas mungkin akan menjadikan mereka dan warga asing lain sebagai sasaran serangan mereka.

"Serangan-serangan ini mungkin sudah dirancang terlebih dahulu atau mungkin juga akan berlaku tanpa sebarang amaran. Serangan bersenjata, percubaan menculik, pengeboman, ataupun tindakan-tindakan keganasan yang lain adalah antara bentuk ancaman yang mungkin dilakukan oleh pengganas," menurut notis yang diletakkan di laman sesawang konsulat tersebut.

Bandar pelancongan itu telah menyaksikan beberapa serangan pengganas pada tahun ini yang mana kumpulan Takfiri Daesh mendakwa bertanggungjawab terhadap kebanyakan serangan itu.

Konsulat itu bagaimanapun tidak menyatakan kumpulan yang mana yang akan melancarkan serangan tersebut tetapi menasihati warga A.S yang sedang melawat atau tinggal di bandar itu supaya menilai semula dan memperbaharui amalan berkaitan keselamatan peribadi mereka apabila melawati kawasan yang sering didiami atau dikunjungi oleh warga asing.

Pada awal bulan ini juga, kedutaan A.S telah mengeluarkan amaran akan bahaya serangan pengganas ke atas premis-premis perniagaan termasuklah Starbucks di Gaziantep yang terletak berdekatan dengan sempadan Syria.

Jumlah pelancong yang melawati Turki dilaporkan menurun berikutan siri serangan pengganas yang menggegarkan negara tersebut. Faktor lain seperti percubaan rampasan kuasa dan hubungan diplomatik yang suram di antara Ankara dan Moscow juga turut memainkan peranan dalam mengurangkan jumlah pelancong yang memasuki negara tersebut.